GURU dan ibu bapa cuba memujuk seorang kanak-kanak hadir ke sekolah. FOTO ihsan SK Buayan
Olivia Miwil
olivia@nst.com.my


GURU Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, sebuah sekolah terpencil di pedalaman Penampang mengambil inisiatif melawat ke rumah sambil memujuk seorang murid Tahun Empat kembali belajar, walaupun terpaksa berjalan sejauh 12 kilometer (km) untuk berbuat demikian.

Guru Besar SK Buayan, Matius Kusop berkata, tiga guru terbabit mengambil masa tiga jam berjalan pada minggu lalu untuk melawat murid berkenaan yang tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu.

Katanya, ini cubaan kedua diambil mereka untuk memujuk murid lelaki itu supaya kembali ke sekolah.

“Sebelum ini dalam lawatan pertama, guru kami juga pergi ke rumahnya di Kampung Pongobonon, tetapi mereka hanya dapat berjumpa dengan ibu bapa murid itu saja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Matius berkata, kanak-kanak itu mendakwa tidak pergi ke sekolah kerana sakit kakinya belum pulih.

“Bagaimana bapa kanak-kanak itu memberitahu anaknya sudah pulih tetapi mereka tidak dapat memujuknya ke sekolah.

“Abang kepada murid itu berhenti sekolah ketika berada di Tahun Enam yang mana difahami pada masa lalu, murid terpaksa berjalan jauh setiap hari.

“Tetapi sekarang, sekolah ini menyediakan asrama dan guru menjaganya (termasuk menyediakan makanan percuma).

“Bagaimanapun, dua adik mereka bersedia datang ke sekolah,” katanya.

Matius berkata, dalam lawatan itu, ibu bapa dan guru tidak berjaya memujuk murid itu kembali ke sekolah, malah dia menarik baju ibunya sehingga koyak ketika guru cuba memujuknya.

“Kita tidak akan berputus asa untuk membawanya ke sekolah,” katanya.

Terletak di kawasan Banjaran Crocker, SK Buayan, sekolah Kategori 3 itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

Selama tiga tahun berturut-turut, sekolah itu mencapai keputusan 100 peratus lulus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 10:19 AM