Tertuduh, Haikal Harun dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, Selangor untuk pendakwaan pagi semalam. Foto oleh Siraj
Siraj Mohd Zaini


SEORANG operator kilang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, Selangor, atas dua pertuduhan mencabul serta cuba merompak seorang pemandu Grabcar pada 3 Mac lalu.

Majistret Mohd Isa Md Nor membuat keputusan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Haikal Harun, 22.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 29 tahun dengan memeluk, mencium dan meraba mangsa untuk mencabul kehormatannya di dalam sebuah kereta.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuba melakukan rompak kepada wanita berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau untuk meminta wang namun gagal.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di kawasan berhampiran Kondominium Koi Prima, Taman Mas, Kuala Langat pada jam 5.38 pagi, 3 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya serta masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan dia sudah menginsafi akan perbuatannya itu.

Mohd Isa kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan bagi setiap satu pertuduhan dan hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai dari tarikh tertuduh ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 3:58 PM