Aidi Sham (dua kanan) melihat Toyota Fortuner milik ahli perniagaan yang dicuri pada ketika sidang media di IPD Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


SINDIKET curi kenderaan menggunakan peralatan elektronik canggih akhirnya tumpas susulan penahanan dua suspek.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menahan dua lelaki berusia 33 dan 37 tahun dalam serbuan berasingan di daerah ini dan Sik, Kedah, pada 9 Mac serta 11 Mac lalu.

Menurutnya, pada mulanya polis menerima laporan kehilangan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner milik seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun ketika di parkir di depan premis perniagaan di Jalan Mahajaya, Port Dickson pada 9 Mac lalu.

“Bertindak atas laporan diterima kami menjalankan siasatan dan mengesan kenderaan berkenaan ditinggalkan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) akibat terbabit kemalangan.

“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah Honda Accord yang juga kenderaan curi.

“Suspek yang berhenti untuk tidur di tepi jalan di Lukut ditahan polis, pada jam 3 petang hari sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Aidi Sham berkata, susulan penahanan lelaki itu polis berjaya mengesan seorang lagi suspek dan menahannya di Sik, Kedah, dua hari kemudian.

Katanya, mereka disyaki menggunakan peralatan elektronik canggih iaitu ‘key programmer’ untuk melarikan kenderaan termasuk yang dilengkapi sistem keselamatan.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang giat mengesan tiga lagi suspek termasuk seorang wanita.

Menurutnya individu sedang dikesan adalah Chan Xiao Chuin, 29, beralamat di Batu Pahat, Johor, Soh Chun Nie, 28, beralamat di Port Dickson dan Voo Vui Chong, 33, beralamat di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur.

Orang awam yang mengenali mereka atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson di talian 06-6472222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 4:20 PM