Muhammad Daud mendakwa pernah diperdaya hampir RM10,000 oleh kumpulan terbabit selepas memberi sumbangan dalam bentuk makanan, pakaian serta wang tunai. FOTO oleh Muhammad Mustakim Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


ISU pusat tahfiz mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma tidak akan selesai walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan menutup premis itu semalam.

Penderma pusat tahfiz di Sungai Petani, Kedah itu, Muhammad Daud Raduan, 61 berkata, selagi akaun yang digunakan untuk menerima sumbangan tidak dibekukan maka kumpulan berkenaan akan terus bergiat aktif.

Katanya, ramai yang tidak sedar bahawa mereka memberi sumbangan kepada akaun pusat rawatan amal yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukannya pusat tahfiz yang menjaga anak-anak yatim seperti didakwa.

“Secara jelas pusat rawatan itu menjalankan perniagaan dan tidak berdaftar dengan JKM.

“Jalan yang terbaik adalah dengan membeku akaun bank berkenaan. Melalui pembekuan akaun kita dapat mengenalpasti berapa jumlah wang sumbangan yang diterima dan ke mana wang itu disalurkan,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata sekiranya tindakan mahkamah diambil sekalipun hanya seorang sahaja individu yang akan menerima hukuman. Jadi melalui pembekuan akaun, lebih ramai lagi individu yang turut terbabit akan dibawa ke muka pengadilan.

Muhammad Daud sebelum ini mendakwa beliau bersama beberapa rakannya pernah diperdaya hampir RM10,000 oleh kumpulan terbabit selepas memberi sumbangan dalam bentuk makanan, pakaian serta wang tunai.

Katanya, dalam tempoh tujuh bulan beliau rapat dengan pihak terbabit iaitu antara September 2017 hingga Mac 2018, mereka kurang senang dengan tindakan beliau memberi bantuan melalui makanan dan pakaian sebaliknya lebih suka bantuan kewangan.

“Saya hanya menyedari tertipu pada Mac tahun lalu selepas mereka gagal meyakinkan saya bangunan yang dijadikan asrama di Pekan Baru, di sini sudah diwakafkan kepada mereka.

“Ini kerana sebelum itu saya ada melihat dokumen perjanjian sewa bangunan itu selepas mereka memohon bantuan kewangan dari saya untuk mengubahsuai bangunan berkenaan.

“Sebelum ini mereka mendakwa bangunan itu diwakafkan kepada mereka, namun selepas saya melihat dokumen perjanjian sewa, baru saya sedar mereka menipu. Bangunan berkenaan disewa dengar kadar RM14,000 sebulan selama tiga tahun dengan bayaran deposit RM42,000,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) Briged Bakti Malaysia, berkata, timbul persoalan berapa jumlah sebenar kanak-kanak di bawah pusat berkenaan walaupun media melaporkan seramai 211 orang.

Katanya, jumlah 211 itu berdasarkan dakwaan pusat berkenaan di media sosial mereka. Selain jumlah yang diperoleh daripada maklumat peribadi kanak-kanak ini di sebuah sekolah di sini.

“Daripada maklumat itulah JKM dapat mengesan sebahagian besar mereka bukan anak yatim sebaliknya masih mempunyai ibu bapa.

“Jumlah mereka mungkin lebih ramai dari yang disangka. Sewaktu saya rapat dengan pusat ini dan kerap ke asrama mereka, kanak-kanak ini tidak tinggal di asrama berkenaan, mereka tinggal di rumah sewa.

“Alasan diberikan asrama berkenaan belum siap. Asrama itu hanya digunakan untuk meyakinkan penderma yang datang melawat sahaja,” katanya.

Media semalam melaporkan, hanya 11 anak yatim berada di sebuah pusat tahfiz amal di Pekan Baru di sini, yang beroperasi tanpa kebenaran sejak 2005.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ahmad Rashid, berkata dakwaan bahawa ada 211 anak yatim di pusat berkenaan adalah tidak benar.

Katanya, semakan terhadap kanak-kanak lain mendapati mereka bukan anak yatim dan masih mempunyai keluarga dan ibu bapa.

Berita berkaitan:

  • Pusat tahfiz eksploitasi pelajar diarah tutup
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 4:56 PM