Mary Victoria Dass


TAKTIK lelaki menyorokkan ribuan tin minuman keras pada pikap yang ditampal pita pelekat hitam di Taman Pulai Bayu, Iskandar Puteri, gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Tampoi Johor, semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya merampas 1,440 botol minuman keras seludup bernilai keseluruhan RM470,400 yang disorok di dalam pikap itu.

Menurutnya, serbuan 9.25 pagi itu dilakukan hasil maklumat orang ramai yang curiga dengan kehadiran pikap di kawasan lapang taman perumahan itu.

“Sebaik menerima maklumat itu, empat anggota diketuai seorang pegawai membuat intipan selama dua jam sebelum melihat lelaki dewasa dipercayai pemilik kenderaan berkenaan membuka pintu pikap dan masuk ke dalam kenderaan itu.

“Pegawai operasi mengarahkan anggota membuat penahanan dan pemeriksaan ke atas pikap itu membawa kepada penemuan 120 kotak minuman keras mengandungi 1,440 botol tidak bercukai.


PAUL (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras yang di rampas dalam operasi di Taman Pulai Bayu. -Foto ZAIN AHMED

“Kesemua rampasan termasuk pikap serta lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah II untuk tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah II di Johor Bahru, hari ini.

Paul berkata, siasatan awal mendapati pikap berkenaan digunakan untuk mengedarkan minuman keras mengikut pesanan di sekitar bandar raya ini sejak kira-kira enam bulan lalu.

Beliau berkata, kesemua ruangan tingkap trak pikap kecuali cermin hadapan ditampal dengan pita pelekat hitam bagi mengaburi kegiatan menyalahi undang-undang itu.

Menurutnya, pihaknya juga percaya bekalan itu didapatkan daripada stor barangan seludup dan yakin lelaki berkenaan dapat membantu siasatan bagi menumpaskan sindiket berkaitan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya atau membenarkan, membiarkan, menyebabkan atau mendapatkan untuk melindungi, disimpan, apa-apa barang tak berkastam atau barang larangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:52 PM