Fuzi berkata satu memorandum terbentuk dengan beberapa perkara dibentangkan menyentuh isu berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
Fuzi berkata satu memorandum terbentuk dengan beberapa perkara dibentangkan menyentuh isu berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
Nurul Hidayah Bahaudin


MEMORANDUM berhubung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibincangkan dalam Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) akan diserahkan kepada pucuk pimpinan kerajaan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, persidangan tergempar itu bermula semalam hingga hari ini selepas menerima banyak permohonan untuk mengadakan mesyuarat berkenaan.

“Ia bagi memberi ruang kepada mereka menyuarakan perkara penting berkaitan IPCMC. Hasil mesyuarat itu, satu memorandum terbentuk dengan beberapa perkara dibentangkan menyentuh isu berkaitan IPCMC.

“Memorandum itu akan diteliti sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan kerajaan dalam tempoh masa terdekat. Jika perlu, akan ada wakil daripada persatuan-persatuan ini dibawa berjumpa wakil kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup persidangan itu di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra, Putrajaya, pada September tahun lalu memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diperkasakan dan dikenali sebagai IPCMC.

Menurutnya, suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik ekoran banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 7:13 PM