Mohd Khalil (tengah) bersama Mohd Kamarudin dan Ismail ketika sidang media mengenai penangkapan baru suspek pencemaran Sungai Kim Kim. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


DUA lagi lelaki ditahan semalam, selepas dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Kedua-dua lelaki antara 10 individu berusia 27 hingga 41 tahun yang ditahan berhubung insiden itu setakat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dua tangkapan terbaharu itu hasil siasatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bagi memburu dalang pencemaran sisa toksik di sungai itu.

“Dua lelaki yang ditahan hari ini (semalam) dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilik industri di daerah ini yang bertanggungjawab membenarkan pemindahan sisa toksik itu,” katanya pada sidang di luar Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah.

Mohd Khalil berkata, sehingga kini semua individu yang ditahan dalam kejadian itu seramai 10 orang.

“Lapan daripada sembilan ditahan di Johor dan Perak sebelum ini, dan sudah direman selama enam hari bermula kelmarin (Ahad lalu) hingga Sabtu ini, manakala reman terhadap seorang lagi tidak dibenarkan kerana tiada kaitan.

“Dua yang ditahan hari ini (semalam) pula ditahan reman bermula hari ini sehingga 25 Mac,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada pendakwa raya dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya.

Katanya, hasil siasatan pihaknya berjaya menemui lori dipercayai digunakan untuk membuang sisa toksik dan kenderaan itu turut dirampas.

Kelmarin, sembilan individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (KK) kerana menjadikan udara merbahaya kepada kesihatan, Seksyen 284 KK kerana kelakuan cuai berkenaan benda beracun dan Seksyen 326 KK menyebabkan cedera parah.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 1:09 AM