Anak Mohd Tarmizi, Mohd Haziq (kiri) masih belum ditemui. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


ORANG ramai dan media dinasihatkan tidak membuat spekulasi serta menyebarkan khabar angin berhubung nasib rakyat Malaysia yang masih hilang susulan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat 4 petang semalam, polis New Zealand mengumumkan bedah siasat terhadap 50 mangsa sudah selesai dan 12 daripadanya sudah dikenal pasti identitinya.

“Jenazah enam daripada 12 mangsa yang dikenal pasti sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Kita minta media dan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan khabar angin berhubung rakyat Malaysia yang masih hilang dalam insiden itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Polis New Zealand menjalankan proses yang jelas dalam mendedahkan nama mangsa kepada orang ramai.

“Selepas keluarga dimaklumkan, polis akan menyerahkan maklumat terbabit kepada Kementerian Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.

“MFAT kemudiannya akan menyalurkan maklumat berkenaan Pesuruhjaya dan Kedutaan negara yang terbabit sebelum didedahkan kepada awam menerusi saluran media,” katanya.

Wisma Putra juga meminta kerjasama semua pihak supaya menghormati perasaan semua keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden itu.

“Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Nasib remaja rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, yang hilang Jumaat lalu selepas tragedi serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, masih belum diketahui sehingga kini sehingga menimbulkan tanda tanya.

Ketika kejadian, Mohd Haziq berusia 17 tahun bersolat di masjid bersama bapanya Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan adiknya Mohd Haris, 12, dan dia hilang tanpa dapat di kesan selepas insiden itu.

Bapanya parah ditembak dalam kejadian itu, manakala Mohd Haris terselamat dan kedua-duanya ditempatkan di sebuah hospital di Christchurch.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 1:20 AM