GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


POLIS mengesan pemandu dan penumpang pacuan empat roda dipercayai melarikan diri selepas kemalangan di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan dekat Tawau, yang mengorbankan seorang wanita warga emas.

Kemalangan itu berlaku 7,15 pagi semalam membabitkan kenderaan terbabit yang berwarna putih dan Proton Iswara.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kedua-dua individu berkenaan dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang sawit sejurus kemalangan itu.

Katanya, mangsa yang maut adalah Sairah Hassan, 71, yang menaiki Proton Iswara bersama dua ahli keluarganya masing-masing berusia 36 dan 59 tahun.

“Mangsa parah di kepala dikejarkan ke Klinik Kesihatan FELDA Umas untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

“Dua ahli keluarganya termasuk yang memandu kereta cedera ringan. Pemandu dan penumpang pacuan empat roda terbabit pula melarikan diri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mengulas kejadian, katanya, nahas dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah FELDA Umas ke bandar Tawau gagal memotong sebuah lori sebelum bertembung dengan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

“Pertembungan menyebabkan kereta mangsa berpusing sebelum terbabas ke lorong kanan, manakala pacuan empat roda terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum larikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:31 AM