KEADAAN Perodua Kembara selepas dilanggar pesawat peribadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS membuka kertas siasatan berhubung kematian juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam insiden kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, kelmarin.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, mangsa, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, dipercayai berada dalam Perodua Kembara milik syarikat berkenaan untuk memantau kerja penyelenggaraan di landasan sebelum kenderaan itu dilanggar sayap pesawat peribadi.

Kejadian itu menyebabkan bahagian bumbung Perodua Kembara terbabit tercabut selepas terkena sayap pesawat berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, siasatan awal dilakukan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (DCA), namun kertas siasatan dibuka selepas mangsa disahkan meninggal dunia semalam.

“Sebelum ini, kami sudah membuka kertas inkuiri polis selepas menerima laporan kemalangan itu. Bagaimanapun, kertas siasatan dibuka sebaik dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia petang semalam.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian tanpa niat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya akan memanggil semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Kami belum memutuskan tindakan lanjut kerana siasatan kes itu baru dimulakan.

“Ia (tindakan lanjut) bergantung kepada hasil siasatan nanti. Kini, kami dalam proses memanggil semua pihak yang terbabit dalam kes itu,” katanya.

Mohd Ruzaimi menghembuskan nafas terakhir 6.45 petang semalam dan meninggalkan isteri, Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara setahun hingga 13 tahun.

MAHB dalam kenyataannya semalam memaklumkan, pihaknya akan membantu keluarga mangsa bagi memudahkan proses pengebumiannya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat malam tadi sebelum dikebumikan di Batu Gajah, Perak, hari ini.

Berita berkaitan

Pemandu parah pesawat langgar kereta

[UPDATE] Masih kritikal

[UPDATE] - Juruteknik MAHB dirempuh kapal terbang meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 1:10 PM