Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan sejak Ahad lalu. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi

PULUHAN anggota bomba bertungkus-lumus lebih 96 jam memadam kebakaran hutan seluas 16.5 hektar di Kampung Pengkalan Badak- Kampung Bisut Licin, Melaka sejak Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Zaidi Safuan berkata, kebakaran itu pada mulanya membabitkan kawasan hutan jenis pertanian dengan keluasan lima hektar sebelum merebak hingga 16.5 hektar.

Beliau berkata, sehingga kini, 30 anggota masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, BBP Ayer Keroh, BBP Jalan Kubu, BBP Padang Temu dan BBP Merlimau diketuai Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba negeri Zulkifli Nordin berada di lokasi.

“Anggota bertugas ditempatkan 24 jam di lokasi kebakaran bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berdekatan termasuk ke tiga kediaman berhampiran.

“Cuaca panas terik dan berangin antara faktor yang menyebabkan kebakaran merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Zaidi berkata, disebabkan lokasi kebakaran yang tiada punca air pihaknya terpaksa menggunakan pam yang disambung dengan jarak 305 meter dari sungai berdekatan.

“Kita jangka kebakaran ini dapat dipadam sepenuhnya dalam masa dua hari lagi.

“Berdasarkan semakan, kawasan ini tidak pernah berlaku kebakaran dan puncanya masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, pihaknya menerima 455 kes kebakaran hutan, lalang dan semak samun sejak awal Mac sehingga hari ini.

“Purata panggilan sehari yang diterima membabitkan kebakaran hutan, kebun dan lalang adalah 100,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 3:30 PM