Pedang yang digunakan suspek dalam pergaduhan hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


ENGGAN membayar minuman di pusat hiburan menjadi punca dua lelaki cedera di kepala dan kaki akibat dipukul empat lelaki menggunakan pedang dalam pergaduhan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian berlaku 3.15 pagi selepas pihaknya menerima panggilan mengenai pergaduhan membabitkan enam individu itu.

Katanya, bertindak aduan diterima Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah JBU itu, anggota MPV dikejarkan ke lokasi.

“Dua lelaki mengalami kecederaan bersama empat lelaki di kawasan itu yang sedang berkumpul.

“Anggota MPV menahan semua suspek dan merampas senjata yang digunakan,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada keengganan dua suspek terbabit membayar minuman di sebuah pusat hiburan berdekatan.

“Semua enam suspek berusia 27 hingga 37 tahun ditahan reman bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 4:28 PM