ADZLI memaklumkan sudah merakam percakapan pengendali premis terbabit dan merampas komputer di premis itu bagi siasatan mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak
Muhaamad Hafis Nawawi dan Nor Farhani Che Ad


PENGENDALI Pusat Jagaan Anak-Anak Cahaya Amal Bistari akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, esok, selepas disyaki beroperasi secara haram dan mengeksploitasi pelajarnya untuk mengutip derma.

Pengarah (Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ahmad Rashid, berkata, pendakwaan ke atas pengendali pusat itu dilakukan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1993.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, mengulas berhubung dakwan pusat rawatan amal terbabit menukar nama dan memohon sumbangan, Ahmad berkata, pihaknya sudah menjangka pusat rawatan amal itu kembali menyebarkan mesej dan video untuk meraih simpati masyarakat.

“Dakwaan untuk terus membantu anak-anak yang dikatakan sudah dikembalikan kepada waris masing-masing adalah mengarut kerana kita mempunyai agensi yang membantu dalam masalah kemiskinan seperti JKM, Jabatan Agama Islam atau pun pihak zakat.

“Kenapa pihak terbabit perlu ambil tanggungjawab untuk menjaga anak-anak ini sedangkan kita ada banyak bantuan seperti bantuan kanak-kanak dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih belum dapat mengetahui di mana anak-anak terbabit ditempatkan.

“Walaupun mereka mendakwa anak-anak itu sudah dikembalikan kepada keluarga masing-masing, namun kita percaya anak-anak ini masih bersama mereka,” katanya.

Dalam video terbaharu berdurasi 5.49 minit itu memaparkan rayuan pekerja pusat rawatan amal di hadapan pagar premis yang disita pihak berkuasa sebelum ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah pula berkata, pusat itu sering menggunakan taktik menukar nama beberapa kali untuk meraih sumbangan daripada orang ramai.

“Siasatan kita mendapati lebih daripada tujuh nama digunakan premis terbabit untuk mengaburi mata pihak berkuasa dalam usaha mereka mengutip sumbangan wang.

“Kita juga sudah merakam percakapan pengendali premis terbabit dan percaya rampasan komputer yang dilakukan di premis itu dapat membantu siasatan mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Adzli berkata, polis menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) memang sedang memantau aliran wang tunai pusat rawatan terbabit.

“Pasukan AMLA dari Bukit Aman memang memantau dan dalam radar mereka untuk mengetahui ke mana wang itu pergi manakala di sini, kita menyiasat mengikut Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Pusat tahfiz eksploitasi pelajar diarah tutup
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 5:56 PM