GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan pihaknya menerima laporan seorang lelaki mendakwa isterinya diganggu penjawat awam pada 13 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat isteri orang dengan niat melakukan persetubuhan.

“Kertas siasatan berhubung kes itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang posmen membuat laporan kepada pihak polis yang mendakwa isterinya digoda anggota keselamatan yang dipercayai bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, lelaki berusia 30 tahun itu membuat dua laporan polis terhadap anggota keselamatan terbabit pada Ogos tahun lalu dan Februari lalu.

Difahamkan isteri mangsa berjumpa kali pertama dengan anggota keselamatan itu pada 2014 ketika menyertai latihan Muay Thai di PULAPOL dan lelaki terbabit menghantar mesej lucah melalui aplikasi WhatsApp sebelum perkara berkenaan didedahkan kepada ibunya pada 2014.

Malah, mangsa mendakwa lelaki itu terus mengganggu isterinya sehingga kini menyebabkannya mengalami kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:49 PM