ANTARA warga asing tanpa dokumen yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


SEORANG tukang gunting rambut tidak sempat menyiapkan rambut pelanggan apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu dijalankan semalam.

Serbuan di 11 premis sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Puchong, Selangor itu berjaya menahan 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berusia 21 hingga 46 tahun atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Imigresen Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bermula pada jam 4 petang dan berakhir jam 11.30 malam itu menyasarkan kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai perabot, restoran dan kilang memproses ayam.

“Serbuan di lokasi pertama iaitu di sebuah pusat perabot di Petaling Jaya, empat premis diperiksa sebelum enam warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pasukan serbuan kemudian menyerbu enam premis di Puchong membabitkan kedai gunting rambut, kedai runcit dan restoran sebelum lapan PATI ditahan,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, pihaknya turut menyerbu pusat penyembelihan di Shah Alam.

“Selepas pemeriksaan dijalankan di tempat kerja dan asrama pekerja, seramai 12 PATI ditahan.

“Semua PATI ditahan adalah warga negara Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“JIM akan terus giat menggempur premis-premis dan kawasan penempatan yang sering menjadi tumpuan warga asing.

“Tindakan pendakwaan warga asing, majikan dan pelindung akan diambil mengikut undang-undang dikuatkuasakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 9:30 PM