ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menggamatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini apabila mencadangkan kerajaan negeri mengusahakan tanaman ganja bagi tujuan perubatan.

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, tanaman ganja yang diusahakan bagi tujuan perubatan tidak menjadi satu kesalahan, malah undang-undang negara ini turut membenarkannya.

Beliau berkata, Akta Dadah Merbahaya 1952 menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

“Satu kajian bagi tanaman ganja pernah dibuat Pengarah Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan.

“Kajian ini antara lain untuk menjadikan industri ini sebagai tanaman komersial bagi tujuan penyelidikan, perubatan serta eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor pada sidang DUN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Mohd Shaid berkata, tanaman ganja memberi pulangan besar iaitu sekurang-kurangnya RM9 juta setahun bagi keluasan tanah 0.4 hektar meliputi tiga kali proses penuaian.

Beliau berkata, jumlah itu melebihi pulangan tanaman sawit yang hanya memperoleh sekitar RM3,000 bagi tanaman berkeluasan sama.

“Diandaikan Kerajaan Selangor dapat mengusahakan lebih daripada 40 hektar, negeri ini akan jadi pengeluar tanaman ganja terbesar di negara ini.

“Namun, tanaman ini dicadangkan dilakukan di kawasan tertentu yang hanya boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja.

“Selain itu, undang-undang perlu diperkemaskan bagi mengelakkan berlaku urus niaga di pasaran gelap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 11:16 PM