KUALA TERENGGANU 20 MAC 2019 Pegawai Perhubungan Awam (PRO) PERKESO, Mohd Sabri Ramli menemuramah Leleih Hasibuan Zainal di pejabat PERKESO Terengganu. STR/ZAID SALIM


IMPIAN seorang wanita merakam detik indah percutian sempena ulang tahun perkahwinan bersama suami di Korea tinggal kenangan apabila suaminya maut dalam kemalangan pada 14 Mac lalu.

Lebih memilukan apabila semua persiapan bercuti ke Korea sudah diatur termasuk tiket penerbangan yang dijadualkan 30 Mac ini.

Menurut Leleih Hasibuan Zainal, 31, dia dan arwah suami, Mohammad Zulkifli Rusdi, 30, berkahwin pada 31 Mac 2018 dan merancang menyambut ulang tahun pertama di Korea.

Katanya, arwah seorang suami yang penyayang dan hanya Allah SWT tahu perasaannya apabila terpaksa ‘berpisah’ ketika usia perkahwinan tidak sampai satu tahun.

“Hari itu (hari kejadian) kami baharu sampai dari Perak selepas bercuti di kampung keluarga saya di Kampar, Perak.

“Sebaik selesai mengeluarkan barang di dalam kereta, suami mengambil motosikalnya dan keluar rumah kira-kira jam 2 petang sebelum pulang semula untuk solat Asar.

“Arwah pulang ke rumah semata-mata mahu menunaikan solat sebelum keluar semula ke tempat kerjanya di Manir untuk mengambil gaji yang diterimanya pada setiap Khamis,” katanya ketika ditemui selepas menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu di rumahnya di Kuala Nerus kelmarin.

Leleih Hasibuan berkata, arwah suami turut memintanya supaya bersiap kerana mahu membawanya keluar makan selepas selesai urusan.

Namun dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada ibu mentua kira-kira jam 7 malam memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan.

“Ketika itu, ibu tidak memaklumkan keadaan suami dan saya meminta bantuan beberapa rakan ke tempat kejadian iaitu berhampiran sebuah pasar raya di bandar raya ini untuk melihat keadaan suami.

“Saya kemudian ke lokasi kejadian. Luluh hati apabila anggota polis menyerahkan kad pengenalan milik suami kepada saya,” katanya yang tinggal di Taman Desa Jaya, Gong Badak, di sini.

Katanya lagi, dia bersyukur apabila menerima faedah hasil caruman PERKESO dan bantuan diterima itu sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya.

“Terima kasih. Bantuan diterima sangat cepat dan saya terharu dengan keprihatinan pihak PERKESO yang pantas menyalurkan bantuan kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 11:39 PM