BUAYA berjemur di kawasan pasir ketika air surut yang dirakam di Tambak Johor.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“KAMI sangka ia sekadar jenaka kerana objek dilihat itu seakan-akan kayu balak, tetapi rupa-rupanya memang buaya sebenar,” kata Mohd Saufee Saleh, 29, juruteknik komputer Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) ketika mengulas beberapa gambar seekor buaya yang dirakam di Tambak Johor pada jam 5 petang, Isnin lalu.

Empat gambar dikongsi menerusi Facebook miliknya itu memperlihatkan buaya terbabit berjemur di kawasan pasir dengan keadaan mulut ternganga ketika air di kawasan berkenaan surut.

Gambar itu dikongsi di media sosial hingga menarik perhatian netizen kerana ia jarang ditemui di situ.

Katanya, pada mulanya kakitangan di bangunan tingkat empat Wisma Peladang di bandar raya ini tidak percaya dengan kehadiran buaya itu di situ.

“Ketika itu seorang rakan memberitahu ternampak buaya. Masing-masing ketika itu tidak percaya kerana menyangkakan dia sekadar mahu berjenaka.

“Mulanya kami menyangkakan objek itu kayu balak yang terdampar, tetapi tidak lama kemudian ia bergerak perlahan-lahan dan berjemur di kawasan pasir di situ.


GAMBAR yang dikongsi menerusi FB Saufee Saleh.

“Sebelum ini pernah dengar mengenai kemunculan buaya di situ, tetapi ia sekadar cakap-cakap selain pernah disiarkan akhbar sebelum ini.

“Tidak sangka kelmarin (Isnin lalu), lebih 20 kakitangan PPNJ menyaksikan di depan mata dan senario itu dirakam di tingkat empat bangunan Wisma Peladang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia juga melihat beberapa pemancing di kawasan itu membatalkan hasrat memancing selepas melihat kemunculan haiwan terbabit yang muncul selama 30 minit.

“Mungkin bimbang dengan keselamatan mereka di situ, kaki pancing di Tambak Johor terus beredar dari kawasan itu,” katanya.

Mohd Saufee berkata, dia percaya bilangan buaya di kawasan itu melebihi seekor.

“Kebetulan air laut surut dan buaya itu mengambil peluang berjemur di kawasan pasir di situ,” katanya.

Tahun lalu, kemunculan buaya sepanjang 6.5 meter menggemparkan sekumpulan pekerja pemasangan tirai kelodak di kawasan Pantai Lido, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:00 AM