Zuhainy Zulkiffli


PENJUAL bunga dari Taman Kledang, Ipoh, Perak, merayu sumbangan meringankan beban kewangannya bagi menjalani rawatan penyakit jantung di Hospital Pulau Pinang (HPP).

R Rengaiya, 44, yang juga orang kurang upaya (OKU), mengeluarkan perbelanjaan lebih RM200 setiap kali berulang dari Ipoh ke Georgetown sejak empat bulan lalu.

Rengaiya berkata, dia perlu merujuk ke HPP dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan.

Dia hanya bergantung kepada simpanan pendapatannya RM15 sehari dengan menjual bunga secara kecil-kecilan bersama isteri, N Karnagi, 47, yang juga OKU lumpuh separuh badan.

“Saya berjalan menggunakan tongkat berikutan masalah tergelincir tulang belakang (slipped disc) manakala isteri pula hanya bergerak menggunakan kerusi roda.

“Pihak hospital ada memaklumkan sekiranya mahu rawatan ini dirujuk ke hospital terdekat di Ipoh, ia mungkin mengambil masa selama setahun bergantung kepada keadaan kesihatan saya,” katanya yang ditemui, semalam.

Rengaiya berkata, dia sering kesempitan wang bagi menyara persekolahan anak yang berusia 11 tahun selain terpaksa mengikat perut untuk berjimat.

Tambahan pula, dia perlu membeli ubat merawat penyakit buah pinggang yang berharga RM240 bagi kegunaan sebulan.

“Kini sewa rumah dan yuran pengangkutan anak tertunggak kerana wang itu digunakan bagi membiayai kos pengangkutan saya ke Pulau Pinang.

“Kerusi roda isteri pula tidak boleh digunakan dan bimbang jika ia menghalang pergerakannya bagi membantu saya di gerai,” katanya.

Rengaiya adalah pemegang kad OKU dan menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 serta Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300.

Dia pernah merayu bantuan orang ramai RM5,000 bagi membiayai kos pembedahan saluran jantung tersumbat pada September tahun lalu di Hospital Serdang, Selangor.

Rengaiya boleh dihubungi di talian 011-34115712 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya bernombor 169972118970.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 8:02 AM
Rengaiya meminta bantuan bagi menanggung kos rawatan sakit jantung.