DUA wanita yang ditahan ATM kerana masuk secara haram diberi makan dan minum sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Ihsan ATM.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan dua wanita dipercayai warganegara Myanmar ketika menyeberangi sempadan secara haram di kawasan Op Pagar II dekat Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, kedua-dua wanita berusia 29 dan 38 tahun itu ditahan anggotanya yang melakukan rondaan sekitar 12.05 tengah hari, semalam.

Tangkapan dilakukan pasukan ronda yang diketuai Koperal Shahril Nizam Ramli selepas melihat mereka berjalan di kawasan bukit berhampiran laluan paip gas menuju ke sempadan negara.

“Mereka pada awalnya melarikan diri dan cuba bersembunyi di dalam semak apabila ternampak anggota, namun tetap berjaya dijejaki dan diberkas.

“Dipercayai tindakan nekad menyeberangi sempadan tanpa hirau keselamatan diri kerana mahu mencari pekerjaan di negara kita.

“Kedua-duanya gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan ketika ditemui, masing-masing keletihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita itu berpecah daripada kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk.

Katanya, tahanan dibawa ke markas dan diberi makan serta minum sebelum dihantar ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:03 AM