Gambar hiasan.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


MASJID di seluruh negara diminta mengadakan solat jenazah ghaib untuk Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, solat itu disaran diadakan selepas solat Jumaat esok.

Katanya, beliau sendiri akan mewakili kerajaan ke Christchurch untuk beri sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas dan akan berlepas ke sana pada 3.30 petang, hari ini.

“Pengesahan Wisma Putra, hari ini berhubung remaja Malaysia, Muhammad Haziq sebagai salah seorang mangsa yang terkorban amat mendukacitakan.

“Sehubungan itu, mohon semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham esok.

“Semoga Allah mencucuri roh Allahyarham Muhammad Haziq dan semoga beliau ditempatkan bersama orang yang soleh,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.

Mujahid dijangka tiba di negara itu, esok dan menunaikan solat Jumaat serta solat jenazah di salah sebuah masjid yang diserang selain menyampaikan khutbah Jumaat.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:50 AM