ANGGOTA tentera disamping daun ketum yang dirampas. FOTO Ihsan ATM.
Noorazura Abdul Rahman


PENYELUDUP bermotosikal nekad meninggalkan tiga guni penuh dengan daun ketum seberat 110 kilogram (kg) selepas terserempak pasukan keselamatan di Batu Persempadanan (BP) 34, Padang Terap, semalam.

Lelaki itu yang berusia lingkungan 30-an disyaki mahu menyeludup barang larangan terbabit yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 ke negara jiran.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, kejadian berlaku pada 3.20 petang ketika pasukan 5 Rejimen Sempadan (5RS) yang diketuai Koperal Idris Anuar meronda kawasan itu.

“Anggota mengesan lelaki itu dipercayai warga tempatan membawa muatan terbabit dengan motosikal dan sebaik melihat pasukan, dia mencampakkan tiga guni putih sebelum memecut laju.

“Pemeriksaan mendapati terdapat daun ketum yang siap diikat rapi untuk diseludup ke Thailand berikutan permintaan dan harga yang tinggi di negara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daun ketum yang dirampas kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 10:17 AM