Raja Noraina Raja Rahim


PESARA tentera berpangkat Leftenan Kolonel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mahadzir Jaafar, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Dia yang pernah bertugas di Muzium Tentera Darat Port Dickson didakwa memperdaya prinsipal Markas Latihan Tentera Darat menerusi satu dokumen iaitu pesanan kerajaan bernilai RM19,000.

Namun tertuduh memberi butiran palsu dengan membuat pengesahan penerimaan bekalan perkhidmatan berhubung pembelian terus bagi membekal bahan mentah dan alat bantu diri sedangkan pembekalan itu tidak dibuat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.


PESARA tentera berpangkat Leftenan Kolonel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, lima tahun lalu. FOTO Adzlan Sidek

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Leftenan Kolonel Hanif Zakaria dan Azman Zakaria.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 10 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 11:07 AM