TANAH perkuburan di Christchurch dikawal pihak berkuasa ketika proses pengebumian mangsa serangan pengganas. FOTO Reuters
Amir Abd Hamid


PENGEBUMIAN jenazah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, disempurnakan di Memorial Park Cemetery Bromley selepas Zohor (waktu tempatan), hari ini.

Mohd Haziq adalah antara 50 mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu ketika umat Islam sedang menunggu solat Jumaat.

Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan remaja Malaysia itu yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menzahirkan ucapan takziah Kerajaan Malaysia kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan memberikan bantuan kepada keluarga dalam proses pengebumian jenazah Allahyarham.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Menteri akan berlepas ke Christchurch 3.30 petang hari ini untuk mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian tragis ini,” katanya.

Mohd Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian, Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Muhammad Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala bapa mereka parah ditembak.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 11:29 AM