Muhammad Mustakim Ramli


PENGENDALI Pusat Jagaan Anak-Anak Cahaya Amal Bistari dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas tuduhan mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar.

Tertuduh, Zainal Abidin Abu Samah, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama, dia pada 12 September tahun lalu didapati mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar yang dikenali Pusat Jagaan Anak-Anak Cahaya Amal Bistari.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Zamrud 6, Taman Pekan Baru, Sungai Petani pada 4.23 petang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani pada 3.18 petang, 13 September 2018.


TERTUDUH (kiri) hadir bersama peguamnya Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung PAS. FOTO Amran Hamid.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Firzami Idris dan Nursuriyani Mohd Noor, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Takiyuddin Hassan.

Mahkamah menetapkan 25 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengarahkan sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran, selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma bagi menarik simpati orang ramai.

Notis penutupan dikeluarkan pada 11 Mac lalu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JAIK).

Berita berkaitan

Pusat tahfiz eksploitasi pelajar diarah tutup [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 11:55 AM