MEK Eshah Awang, 55, menunjukkan ruang tamu rumah pusaka yang didiaminya sekeluarga yang sudah tidak boleh diduduki kerana papan lantai yang reput dan berlubang, di Kampung Baung, Pengkalan Chepa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


“HANYA bilik tidur dan ruang dapur yang sempit ini menjadi tempat kami sekeluarga tidur dan berehat sejak lebih 10 tahun lalu,” kata Mek Eshah Awang Ahmad.

Mek Esah, 55, berkata, disebabkan kesempitan hidup, dia dan suaminya, Ali Daud, 67, tidak mampu menyediakan kediaman selesa kepada keluarganya.

Katanya, dia dan suaminya tidur di dapur, manakala empat anak dan dua cucu berusia lima hingga tujuh tahun tidur di bilik usang yang papan lantai rumah sudah reput.

“Ruang tamu rumah pusaka yang didiami kami sekeluarga sejak 80 tahun lalu tidak boleh digunakan lagi kerana banyak papan lantai yang sudah reput serta berlubang dan disebabkan kekangan kewangan, kami tidak mampu untuk menggantikannya.

“Dalam masa sama, saya juga bimbangkan keselamatan dua cucu yang masih kecil dan sebelum ini mereka pernah terjatuh ketika sedang bermain di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurutnya, dia mempunyai lapan anak bekerja kampung dan kilang, namun mereka turut berdepan kekangan kewangan menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa hidup dalam serba kekurangan selain tidak mampu membaiki rumah pusaka berkenaan.

“Bagi menampung keperluan harian, saya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah sekitar Kota Bharu dengan pendapatan RM1,000 sebulan memandangkan suami saya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun tidak lagi bekerja selepas kedua-dua matanya kabur.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya perlu berjimat. Mujurlah suami mendapat bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Katanya, dia amat berharap agar ada pihak yang sudi membantunya membaiki rumahnya yang sudah terlalu uzur.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 03010-41-00023887-2, atas nama Mek Eshah Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:06 PM