ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat cuba mengawal kebakaran belukar di Jalan Kuantan, Pekan dekat Taman Indera Sempurna. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 70 titik panas dikesan di Pahang sejak awal Mac hingga semalam, sekali gus meningkat 100 peratus berbanding Februari lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Zul berkata, pertambahan itu antara lain berpunca daripada cuaca panas melampau dan aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal.

“Daerah Pekan paling banyak titik panas iaitu sebanyak 34, diikuti Rompin (21), Jerantut (5) dan Temerloh, Kuantan, Lipis serta Temerloh yang masing-masing dua titik panas.

“Masing-masing satu titik panas di Bera dan Bentong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosli berkata, tidak menolak kemungkinan banyak pembakaran terbuka di kawasan seperti ladang, belukar dan tanah gambut sepanjang bulan ini yang menyumbang kepada peningkatan titik panas.

“Selain itu, cuaca panas dan kering berpanjangan serta tiada hujan, sememangnya menyumbang kepada keadaan itu. Ini juga akan jejaskan kualiti udara dan sebabkan jerebu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di seluruh negeri ini supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Katanya, tindakan boleh diambil kepada mereka yang sabit kesalahan boleh dikompaun maksimum RM2,000 atau denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang maklumat berkaitan kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:16 PM