SEBAHAGIAN komen yang ditinggalkan di IG Mohd Haziq, hari ini. FOTO IG Mohd Haziq.
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


INSTAGRAM (IG) Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, remaja Malaysia yang disahkan terkorban dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu dipenuhi komen yang berkongsi kesedihan atas kehilangannya.

Antara komen ditinggalkan, adalah daripada @ziqninja memberitahu Haziq tidak akan dilupai dan sentiasa diingati selain, semoga damai ke negeri akhirat yang ditulis pemilik akaun michaelajjames2.

@epulakmal_ pula dalam hantaran di IG arwah menghadiahkan Al-Fatihah, semoga saudara tenang di sana dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

Bagi @ahmadiqbalihsan, kematian Haziq dalam serangan di Masjid Al Noor sebelum solat Jumaat minggu lalu sebagai kematian dicemburui.

@imhashim15 pula menulis takziah untuk seluruh ahli keluarga Allahyarham dan @muhammadrayyannaufal_05 pula tidak dapat meluahkan kesedihannya dengan perkataan dan hanya meletakkan emoji sedih.

Mohd Haziq bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi adalah antara 50 mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid, dan disahkan Wisma Putra, pagi hari ini.

Arwah adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang turut parah dalam insiden berkenaan. Ketika kejadian mereka bersama adik Mohd Haziq, Mohd Haris, 12, sedang solat di Masjid Al Noor.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 3:46 PM