Pembakaran terbuka turut boleh menghasilkan gas beracun ujar Prof Abdull Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein


ORANG ramai disarankan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak berlakunya pencemaran udara akibat gas beracun seperti episod pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, dua minggu lalu.

Hasil uji kaji, aktiviti pembakaran terbuka terbukti boleh menghasilkan gas beracun yang sama terhasil daripada pembuangan sisa bahan kimia berlaku di Pasir Gudang itu.

Perkara itu didedahkan Dekan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Abdull Rahim Mohd Yusoff yang mengetuai Jawatankuasa Saintifik yang ditubuhkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi menangani isu pencemaran Sungai Kim Kim.

Menurut Abdull Rahim, kebakaran terbuka boleh menghasilkan gas yang sama seperti pencemaran baru-baru ini iaitu Acrolein dan Acrolynitrile.

“Namun bezanya, pencemaran Sungai Kim Kim bukan disebabkan pembakaran terbuka, tetapi ia tercetus akibat pelepasan bahan kimia dalam kuantiti yang sangat banyak ke dalam sungai.

“Pembakaran terbuka memang tiada kena mengena dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, tetapi tindak balas itu sama, terutamanya jika berlaku pembakaran plastik atau politerina.

“Ini terbukti apabila pencemaran udara sama berlaku walau sedikit polisterina atau bahan plastik dibakar ketika kajian dilakukan,” katanya.

Menurutnya, gas terhasil boleh memberi kesan yang sama seperti tragedi pada 7 Mac lalu.

“Jadi saya sarankan kepada masyarakat terutamanya penduduk di Pasir Gudang, supaya tidak melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau juga berkata, masyarakat diharapkan menjadi lebih proaktif dengan melaporkan kepada pihak berkuasa, jika melihat ada kegiatan pembuangan sisa toksik dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 5:16 PM