Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Zuhainy Zulkiffli


“RAHIMI sudah sedar,” demikian khabar gembira daripada Rosdi Ahmad, 42, mengenai adiknya, Rahimi, 39, yang menjadi mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Berita gembira itu dihantar Rosdi melalui kiriman WhatsApp kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz hari ini.

Azrul Mahathir berkata, dalam kiriman WhatsApp itu, abangnya memberitahu Rahimi kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Christchurch.

“Doktor beritahu keadaan abang stabil serta sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tangan.

“Saya baru saja selesai menguruskan persekolahan dua anaknya manakala isteri Rahimi (Norazila Abdul Wahid, 39) sudah mengambil kereta suaminya yang diletakkan di perkarangan masjid,” kata Rosdi menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada Azrul Mahathir, hari ini.

Rosdi dan ibunya, Rokiah Mohammad, 65, dari Kampung Binjai, Bayan Lepas berlepas ke Christchurch Sabtu lalu bagi melihat perkembangan Rahimi yang cedera terkena tembakan dan mereka dijangka pulang 1 April ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Azrul Mahathir yang mewakili kerajaan negeri ke negara itu tiba di Pulau Pinang jam 9.30 malam.

Sementara itu, Azrul Mahathir berkata, pihaknya akan mengadakan doa selamat serta solat ghaib kepada mangsa tragedi berkenaan menerusi Program Malam Cinta Rasul Bayan Lepas Berselawat di Teluk Kumbar.

“Program yang bermula jam 9 malam itu dijangka dihadiri 500 penduduk,” katanya ketika dihubungi.

Selain Rahimi, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, rakyat Malaysia yang tercedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Christchurch manakala anak sulung Mohd Tarmizi iaitu Haziq, 17, selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley hari ini.

Anak sulung Rahimi, Ahmad Razif, 11, yang dilaporkan trauma selepas kejadian kini semakin baik.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:41 PM