Dua rumah yang musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


“SAYA dengar ada orang jerit api, jadi saya terus angkat adik dan lari keluar dari rumah,” kata Nik Intan Nabila Nik Fauzi Izani, 8, yang menjadi ‘hero’ apabila menyelamatkan adiknya dalam kebakaran di Jalan Murah Beserah, Kuantan hari ini.

Kejadian 9 pagi itu menyebabkan dua rumah yang didiami 11 individu dari dua keluarga musnah menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Nik Intan Nabila berkata, ketika kejadian dia bersama adiknya, Nik Khairi Aswa yang berusia lapan bulan menonton televisyen di ruang tamu rumah.

“Tiba-tiba saya dengar orang jerit api, saya terkejut dan terus bawa lari adik keluar dari rumah,” katanya ditemui di pusat penempatan sementara di Tabika Kemas Batu Hitam.

Sementara itu, ibunya, Salimah Adam, 33, berkata, ketika kejadian dia bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah manakala suami, Nik Fauzi Izani Rahlim, 37, juga sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di asrama sekolah itu.

“Ada orang datang memaklumkan rumah saya terbakar, ketika itu saya cuma teringatkan kedua-dua anak dan bergegas pulang ke rumah.

“Ketika sampai di rumah, saya terus jerit panggil nama anak, namun ada jiran bagi tahu, mereka nampak Nik Intan Nabila berlari keluar dari rumah sambil dukung adiknya,” katanya yang mempunyai empat orang anak.

Katanya, dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya itu selamat dan menganggap Nik Intan Nabila sebagai ‘hero’ mereka.

“Ketika kejadian, dia tidak panik dan tinggalkan Khairi... Nik Intan Nabila seorang kakak yang bertanggungjawab dan selalu menjaga adiknya malah dia rajin tolong saya buat susu serta sangat sayangkan Nik Khairi Aswa,” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan sebuah lagi rumah yang didiami Normah Hamid, 49, dan suaminya, Bahrain Mat Deris, 58, musnah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung yang melawat mangsa hari ini berkata, pihaknya menyerahkan sumbangan barang keperluan asas kepada kedua-dua keluarga berkenaan.

“Ketika ini, satu keluarga ditempatkan di dewan Tabika manakala sebuah keluarga lagi tinggal dengan keluarga mereka yang berdekatan.

“Kami bawa keperluan asas dan makanan untuk keluarga ini dan pada masa sama menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan jangka masa panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:20 PM