GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


PADAH memuat naik kata jelik dan berbaur perkauman di Facebook (FB), pemandu lori ditahan polis dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Georgetown, esok.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 42 tahun dan berasal dari Puchong, Selangor itu ditahan di Dang Wangi, Kuala Lumpur, 5.45 petang hari ini.

Menurutnya, penahanan suspek dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki pada 23 Januari lalu selepas dia membuka FB dan melihat pemilik akaun ‘Suresh Don Don’ memuat naik kata jelik dan berbaur perkauman.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki satu rekod membabitkan kes dadah dan kami turut merampas telefon bimbit miliknya.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) di Mahkamah Sesyen Georgetown, esok,” katanya.

Anbalagan berkata, polis memandang serius berhubung kes ini dan tidak sesekali berkompromi dalam usaha mengekalkan ketenteraman awam.

“Kita harap pengguna media sosial tidak sesuka hati menghina agama atau kaum lain kerana polis akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:37 PM