MOHAMED Azmin menjawab soalan media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Hairulazim Mahmud


WILAYAH utara memerlukan lapangan terbang antarabangsa kedua bagi menampung permintaan industri khususnya di selatan Kedah dan Wilayah Koridor Utara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bernilai RM1.6 bilion yang dibiayai sepenuhnya swasta itu tidak akan menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

“Kita kena melihat jangka panjang keperluan pembangunan di Koridor Utara, PIA pada ketika ini namun kapasitinya semakin meningkat tidak dapat lagi menampung jumlah penggunaannya.

“Untuk membesarkan lapangan terbang itu agak terhad kerana tidak ada lagi kawasan sesuai untuk pembesaran.

“Anda boleh lihat kemasukan pelabur ke negara ini dan polisi kita tidak mahu menumpukan pelaburan di Lembah Klang, Selangor atau Johor semata-mata,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion termasuk KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Mohamed Azmin berkata, berkaitan pembinaan KXP, kerajaan tidak mempunyai wang untuk membinanya kerana pembabitan lebih aktif pihak swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 10:25 PM