LELAKI warga emas maut selepas kenderaannya merempuh tiang elektrik. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI warga emas maut selepas van dipandunya hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 49.5, Jalan Ipoh - Taiping, Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 7.25 pagi itu, Mohamed Taib Salleh, 62, yang beralamat di Kampung Lempor Pekan, Manong, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kemalangan hanya membabitkan kenderaan Perodua Rusa yang dipercayai terbabas sendiri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Sayong ke Taiping sebelum disyaki hilang kawalan dan terbabas sendiri sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan terlanggar tiang elektrik di bahu jalan.

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat

“kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 12:04 AM