KENDERAAN unit kejuruteraan MAHB dipandu Mohd Ruzaimi berlanggar dengan pesawat, pada 3.20 pagi. Foto Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“KESALAHAN bagi kejadian ini mesti terletak pada pihak berkuasa lapangan terbang.

“Mereka sepatutnya memberi amaran awal mencukupi kepada pesawat mengenai kerja penyelenggaraan di landasan atau menutup terus lapangan terbang. Tiada amaran sedemikian diberikan,” kata Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.

Reaksi itu diberi Vincent bagi mengulas mengenai kejadian pesawat merempuh sebuah kereta unit kejuruteraan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, kakitangan MAHB, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang memandu kenderaan terbabit, meninggal dunia.

Menurut Vincent, ketika kejadian pesawat Berjaya Air yang terbabit dalam kemalangan itu mendapat kebenaran mendarat di LTSAS daripada menara kawalan Subang.

Beliau berkata, juruterbang pesawat berkenaan juga sudah mengikuti semua prosedur pengendalian dan pendaratan.

Katanya, Berjaya Air dan juruterbang yang terbabit tidak sepatutnya dipersalahkan, sebaliknya pihak pengurusan lapangan terbang yang perlu tampil bertanggungjawab.

“Saya berpendapat pihak berkuasa lapangan terbang cuai, saya berharap kejadian ini membuka mata pihak terbabit supaya ia tidak berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Vincent. FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, Vincent berkata, beliau secara peribadi akan mendermakan RM50,000 kepada balu mangsa bagi membantu meringankan kesulitan kewangan keluarga.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Mohd Ruzaimi,” katanya.

Sementara itu, Berjaya Air dalam kenyataan berasingan memaklumkan, jet peribadi yang terbabit dalam pelanggaran dengan kenderaan penyelenggaraan di LTSAS itu terbang dan mendarat sesuai dengan pelan penerbangan yang dikemukakan serta diluluskan Pusat Kawalan Lalu Lintas Udara, sebelum ia dijadualkan mendarat.

“Menara di lapangan terbang memberi kebenaran kepada juruterbang untuk mendarat dan tidak ada ‘Notice to Airmen’ atau NOTAM yang dikeluarkan untuk memaklumkan bahawa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di landasan.

“Tidak ada suar atau lampu amaran untuk memberi amaran kepada krew bahawa adanya kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di landasan.

“Malah, pesawat itu sudah mendarat dan kelajuannya sudah berkurangan ketika ia bertembung dengan kenderaan penyelenggaraan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, syarikat itu bersedia memberikan bantuan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Biro Siasatan Kemalangan Udara yang mengetuai siasatan.

“Kami juga berharap orang awam tidak berterusan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian malang ini dan memberikan masa kepada pihak yang berkenaan untuk melengkapkan siasatan,” jelasnya.

Isnin lalu, kakitangan MAHB itu parah selepas kereta unit kejuruteraan MAHB dipandunya dirempuh pesawat terbabit, pada 3.20 pagi.

Pesawat terbabit merempuh bahagian hadapan cermin dan bumbung kereta itu.

Penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun Mohd Ruzaimi yang parah dikejarkan ke hospital swasta untuk rawatan.

Sehari kemudian, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin memaklumkan Mohd Ruzaimi disahkan meninggal dunia pada 6.45 petang, ketika menjalani rawatan intensif di hospital swasta di Petaling Jaya.

Mangsa meninggalkan isteri, Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara setahun hingga 13 tahun.

Berita berkaitan

Polis siasat kematian juruteknik MAHB

Pemandu parah pesawat langgar kereta

[UPDATE] Masih kritikal

[UPDATE] - Juruteknik MAHB dirempuh kapal terbang meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 12:53 AM