HADI mempunyai minat terhadap taranum sejak berusia lapan tahun.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


“AKTIVITI ini (bertaranum) sudah menjadi amalan saya. Bukan setakat di rumah, malah ketika di dalam kereta dan melepak bersama rakan juga saya bertaranum,” kata Hadi Mohd Sharkawi, 27, dari Sarawak.

Peserta qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1440H/2019M berkata, dia mempunyai minat mendalam dalam bidang berkenaan sejak berusia lapan tahun.

Katanya, disebabkan minat dia berusaha sendiri mendalami ilmu itu tanpa paksaan daripada bapa Mohd Sharkawi Ali Akbar, 60, dan ibu Eliza Said, 54, sebaliknya mereka yang memberi sokongan termasuk dari segi kewangan.

“Biasanya apabila ada masa terluang saya membaca al-Quran dan bertaranum untuk meningkatkan kualiti bacaan.

“Saya memperuntukkan masa tiga kali seminggu untuk bersenam dan berenang bagi mengekalkan stamina.

“Setiap bulan saya ke Kuala Lumpur untuk belajar taranum dengan johan qari Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2011, Ustaz Amir Rahman Abbas,” katanya.

Jurutera penyelidik dan pembangunan elektrik di Sarawak Energy Bhd itu berkata, walaupun berdepan kesibukan kerja, tetapi dia perlu bijak membahagikan masa supaya minatnya dapat diteruskan.

Katanya, dia sedang menyambung pengajian separuh masa dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di UTM Space, Kuala Lumpur.

Pernah menyertai MTHQK tiga kali bermula 2013, Hadi berkata, dia mahu menyertai pelbagai pertandingan seumpama itu sebagai landasan untuk menambah ilmu dan memperbaiki bacaan.

Namun, dia tidak meletakkan tekanan sebaliknya menjadikan pengalaman itu untuk buat lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 8:01 AM