GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


DUA murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Marang dipercayai menjadi mangsa amang seksual seorang lelaki.

Perbuatan terkutuk lelaki berusia 23 tahun itu terbongkar selepas mangsa berusia 10 tahun menceritakan kejadian itu kepada ibunya Ahad lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan Soffian Santong berkata, mangsa memaklumkan suspek melakukan amang seksual fizikal dengan memegang kemaluannya.

“Terkejut dengan cerita mangsa, wanita terbabit membuat laporan polis kerana bimbang anaknya terus diganggu suspek.

“Hasil pendedahan itu, seorang lagi wanita turut membuat laporan polis selepas anak lelakinya berusia 11 tahun juga menjadi mangsa suspek sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Soffian berkata, siasatan mendapati suspek menjadikan budak lelaki sebagai mangsa untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan jika ada lagi murid sekolah menjadi mangsa suspek.

“Jika ada ibu bapa yang anaknya menjadi mangsa saya minta tampil membuat laporan polis.

“Hasil siasatan suspek berjaya ditahan di rumahnya di Marang Selasa lalu 7.45 malam.

“Suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 3:19 PM