Zuliaty Zulkiffli


KIRA-KIRA 1,000 jemaah Masjid Batu 9, Buluh Lima, Kota Sarang Semut, Alor Setar menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat, hari ini.

Solat itu untuk mendoakan Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang meninggal dunia akibat terkena tembakan rambang di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Solat diimamkan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Fisol Omar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Luar Bandar dan Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Dr Ismail berkata, solat jenazah ghaib dilakukan serentak di 576 masjid di Kedah sebagai solidariti untuk mendoakan supaya roh Mohd Haziq tenang di sana.

Beliau berkata, solat itu turut dilakukan serentak di seluruh Malaysia seperti disarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof.

“Selain itu banyak masjid di negeri ini turut mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yaasin untuk arwah sejak malam tadi.

“Solat ini untuk mendoakan mangsa dalam insiden pengganas itu termasuk rakyat Malaysia yang cedera,” katanya ketika ditemui.

Dr Ismail berkata, jemaah turut mendoakan supaya mereka yang terkorban diletakkan bersama syuhada di sisi Allah SWT dan berharap agar keluarga diberikan kesabaran berdepan dengan ujian itu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 50 jemaah terkorban terkena tembakan rambang dilakukan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand ketika hendak menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, tiga rakyat Malaysia termasuk bapa Mohd Haziq, Mohd Tarmizi Shuib, 42, Rahimi Ahmad, 39, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 49, cedera akibat terkena tembakan itu dan keadaan mereka dilaporkan semakin pulih.

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:26 PM
    SEBAHAGIAN jemaah Masjid Batu 9, Buluh Lima Kota Sarang Semut, Alor Setar menunaikan solat jenazah ghaib untuk arwah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang terkorban akibat terkena tembakan rambang pengganas di New Zealand. FOTO Zuliaty Zulkiffli.