REMAJA lelaki maut dipercayai akibat letupan bom ikan selepas melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Norasikin Daineh


“SAYA terdengar bunyi letupan dan selepas 20 minit seorang kanak-kanak lelaki berlari meminta bantuan mengatakan seseorang terkena bom ikan,” kata seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Ahmad Ramzi Senapi, 34, yang berada berhampiran lokasi kejadian di belakang Pulau Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa lelaki berusia 16 tahun maut dan sebahagian badannya hancur akibat terkena letupan selepas dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan terbabit.

Ahmad Ramzi berkata, ketika kejadian dia sedang melakukan kerja selenggaraan di kawasan berkenaan dan difahamkan kawasan itu terkenal dengan aktiviti pengeboman ikan.

“Selepas mendapat tahu kejadian itu, kami bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki bot dan dipandu arah kanak-kanak lelaki terbabit.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dilihat dalam keadaan terapung dan parah serta dipercayai sudah meninggal dunia akibat letupan bom ikan berkenaan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Ahmad Ramzi berkata, dia menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, kejadian membabitkan seorang lelaki tiada dokumen pengenalan diri bersama rakannya iaitu kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

“Sebahagian badan mangsa hancur disebabkan bom ikan meletup di tangannya sebelum ia sempat dibuang ke laut.

“Rakannya iaitu kanak-kanak terbabit sempat melompat ke laut dan kebetulan sepasukan anggota APMM yang berada di lokasi kejadian memberi bantuan dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 5:23 PM