LAPORAN portal Harian Metro mengenai kes perbuatan khianat membakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


POLIS memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan, Kangar, hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, kedua-dua lelaki itu menjadi suspek utama selepas kelibat mereka yang menaiki motosikal dilihat memasuki kawasan kejiranan rumah Mohd Asri, pada 5.12 pagi.

Katanya, perbuatan mereka itu jelas terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran Mohd Asri selepas pihaknya meneliti rakaman terbabit pagi tadi.

“Sebelum itu, seorang daripada suspek turut dirakam CCTV membeli petrol di stesen minyak berdekatan rumah Mohd Asri pada 3.30 pagi dengan menaiki kereta.

“Malah, ini dikuatkan lagi apabila suspek ketika itu memandu kereta berkenaan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain mengisi minyak ke dalam tong yang diperbuat daripada plastik.

“Jadi, buat masa ini kami masih meneliti lagi rakaman CCTV milik jiran Mohd Asri dan polis percaya mereka adalah dalang dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi semalam, kereta rasmi Honda Accord 2.0i Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk bersolat Subuh kira-kira 6.05 pagi.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Bersangka baik sahaja'

Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:19 AM