PEGAWAI imigresen berpakaian biasa memeriksa warga asing yang menjalankan perniagaan kedai makan dalam Ops Bersepadu (Sapu) di Kuala Terengganu. FOTO Zaid Salim


HASRAT warga asing dipercayai dari Bangladesh melepaskan rindu menikmati masakan negaranya terbantut apabila kedai makan diusahakan warga senegara diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.

Selain melarikan diri, pelbagai helah dilakukan warga asing itu, seperti mendakwa dokumen pengenalan diri tertinggal di rumah kongsi atau dipegang majikan, malah ada yang berpura-pura pengsan sebagai alasan untuk mengelak ditahan.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu sia-sia apabila sebahagian daripada mereka yang menyalahi peraturan imigresen ditahan dalam Ops Bersepadu (Sapu) dijalankan JIM Terengganu di sekitar kawasan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh itu dilakukan susulan aduan orang ramai yang kurang selesa dengan kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan pada hujung minggu.

“Helah pegawai berpakaian biasa berjaya mengaburi mata golongan warga asing terbabit apabila rata-rata mereka terkejut dan panik apabila ditahan sebelum diminta menunjukkan dokumen perjalanan kepada pegawai jabatan berkenaan.

“Dalam operasi selama dua jam bermula 10 pagi itu, lebih 50 warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Indonesia diperiksa sebelum 13 lelaki yang berusia antara 24 hingga 45 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen dan tinggal lebih masa.

“Selain itu, ada antara warga Myanmar dikesan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dipercayai palsu,” katanya ketika ditemui di Hentian Bas MBKT, hari ini.

Rahim berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 tidak memiliki dokumen dan Seksyen 14(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 1:35 AM