NOR Farhatul Fairuzah (kiri) diumumkan sebagai johan qariah manakala kakaknya, Nor Faizah Panut diumumkan sebagai naib johan qariah. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“SAYA mungkin sedikit kecewa kerana tidak meraih johan tetapi saya gembira apabila adik berjaya memenuhi impian arwah ayah,” kata qariah Selangor, Nor Faizah Panut, 30 yang diumumkan naib johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/2019M di Seremban, malam tadi.

Nor Faizah berkata, kejayaan adiknya, Nor Farhatul Fairuzah, 19, ditabalkan johan tilawah amat membanggakan kerana ia penyertaan pertama sekaligus memenuhi impian arwah ayahnya, Panut Markom, 70 yang meninggal dunia pada 2017.

“Arwah ada berpesan teringin melihat seorang anaknya bergelar johan tilawah. Malam ini (tadi) adik (Nor Farhatul) memenuhi impian itu,” katanya sebak.

Guru Pendidikan Islam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor itu berkata, adiknya mewakili Negeri Sembilan kerana belajar di tingkatan enam di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Seremban.

Katanya, orang tuanya pernah menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dengan ibunya, Jaliah Simin, 63 meraih tempat ketiga pada 2004.

“Walaupun ia pertandingan, saya dan adik sama-sama berusaha memperbaiki bacaan dan taranum. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada kami berdua,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Menurut Nor Faizah, dia menyertai majlis tilawah tujuh kali iaitu pada 2008, 2009, 2010 dan 2011 dengan meraih naib johan buat kali ketiga pada 2014, 2016 dan tahun ini.

“Allah memberikan masa kepada saya untuk memperbaiki bacaan dan taranum selain menambah ilmu. Kami memiliki ramai guru terutama ibu bapa,” katanya yang berasal dari Kampung Hulu Cucuh, Sepang, Selangor.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, penghargaan diberi kepada suaminya, Muhammad Zahid Yusof, 31 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar yang banyak menyokong terutama membabitkan masa.

Sementara itu Nor Farhatul bersyukur dengan kejayaan itu dan tidak menyangka penyertaan kali pertama menyaksikannya dinobatkan johan.

Anak bongsu itu berkata, ibu dan kakaknya sentiasa memberikan sokongan termasuk tiga adik beradik yang lain.

“Sebenarnya saya hadir sekadar untuk mencuba dan Alhamdulilah rezeki memihak. Selepas ini saya akan menambah latihan dan memperbaiki bacaan,” katanya yang akan mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 15 hingga 20 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:24 PM