PESERTA Perhimpunan Solidariti Kedamaian memegang pelekat dan jambangan bunga ketika berkumpul di Dataran Merdeka hari ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak kebencian. FOTO Bernama
Suraya Roslan dan Mohd Rizal Abdullah


WARIS keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang terkorban dalam tragedi tembakan di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu menerima penghormatan ‘standing ovation’ sebagai tanda sokongan daripada semua peserta Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, hari ini.

Ratusan peserta berdiri dan memberi tepukan gemuruh sebaik ibu saudara arwah, Zarina Shuib dan keluarganya mahu memulakan ucapan mewakili keluarga.

Zarina, 53, turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan diberi rakyat Malaysia ketika keluarganya berdepan dengan kesedihan apabila kehilangan Muhammad Haziq manakala adiknya, Mohd Tarmizi Shuib masih lagi dalam rawatan.

“Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New Zealand yang mana adik kami (Mohd Tarmizi) cedera dan anak saudara kami (Muhammad Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan berkenaan.

"Biarpun ujian berat ini diterima, namun kami ahli keluarga reda dengan pemergian Muhammad Haziq dan wajib menerima ketentuan-Nya,” katanya dalam ucapan itu.

Zarina berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia amat cinta kedamaian dan keamanan sejagat.

Khamis lalu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan Muhammad Haziq antara 50 mangsa terbunuh dalam tragedi hitam di dua masjid di Christchurch.

Haziq adalahanak kedua Mohd Tarmizi , 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 1:10 PM