Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.con.my


POLIS menyita kediaman mewah milik keluarga ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan di kediaman itu di Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, rumah itu disita polis Bukit Aman daripada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) PDRM, pada 17 Januari lalu.

Notis yang menamakan Gaik Ewe, 66, sebagai pemilik banglo tiga tingkat itu dilekatkan di tiang pagar rumah.

Ia dikeluarkan pihak Jabatan Peguam Negara, dan dibuat mengikut Sub Seksyen 4 (1) AMLA 2001.

Banglo bernilai RM15 juta itu sebelum ini dihuni keluarga Jho Low, yang kini dipercayai berada di luar negara.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 2:43 PM
JABATAN Peguam Negara mengeluarkan notis sita di kediaman keluarga Low Taek Jho atau Jho Low di Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah bagi bantu siasatan penyelewengan wang 1MDB. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal