Radzi (tengah) bergambar dengan peserta selepas menyampaikan hadiah pada Program Polycc Jubilee Walk 2019. FOTO Fathil Asri.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk berhubung masalah kekurangan bekalan air dalam kalangan pesawah di Kelantan.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya akan membincangkan penyelesaian terbaik untuk membantu petani di seluruh negeri ini.

Katanya, musim kemarau yang melanda hampir dua bulan lalu menyebabkan paras air sungai Kelantan menyusut mendadak dengan bacaan 3.5 meter berbanding beberapa tahun yang lalu 5 meter.

“Penyusutan paras air sungai memberi kesan kepada pam air Kemubu apabila saya mendapati ia tidak dapat berfungsi dengan baik dan air tidak dapat disalurkan kepada petani.

“Jadi, kita akan mencari jalan penyelesaian jangka panjang bersama MOA bagi membantu pesawah padi yang menerima kesan akibat musim kemarau ini.

“Kita tidak mahu musim kemarau memberi kesan kepada pendapatan petani di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup program Polycc Jubilee Walk 2019 di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, penyelesaian bagi tempoh jangka pendek apabila MOA membina telaga tiub di kawasan sawah padi.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 2,509 petani yang mengusahakan tanaman padi seluas 6,899 hektar padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berisiko terjejas berikutan musim kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 2:55 PM