Mayat lelaki warga emas ditemui terapung dalam longkang. FOTO Harun Yahya.


MAYAT lelaki warga emas ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang di Jalan Oya 19, Sibu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mayat mangsa ditemui orang awam pada jam 9.15 pagi.

“Mangsa dikenal pasti sebagai Ngu Kwong Chiu,75, ketika ditemui warga emas ini lengkap berpakaian.

“Pemeriksaan awal pada mayat di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan di dahi kiri, mata kiri dan lengan kiri dipercayai akibat terjatuh,” katanya ketika dihubungi.

Stanley berkata, jarak antara kediaman mangsa dengan lokasi kejadian cuma kira-kira 50 meter saja.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati barangan peribadi seperti dompet berisi wang tunai RM761, jam tangan dan sebentuk cincin masih ada pada mangsa.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan pihak keluarga juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini.

“Difahamkan mangsa akan keluar untuk bersiar-siar pada jam 5 pagi setiap hari dan pulang semula ke rumah pada jam 8 pagi,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kes penemuan mayat warga emas itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 4:49 PM