Gambar hiasan
Shamsul Munir Safini


HANYA kerana tidak mahu dikompaun bagi membuat pasport baru, lelaki membuat laporan polis kononnya dokumen perjalanan yang hilang itu disamun dua lelaki di hotel di Bukit Tengah.

Namun tindakan kurang bijak lelaki berusia 20-an berkenaan mengundang padah selepas polis mengesan penipuannya sebelum dia terpaksa bermalam di lokap polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan palsu dibuat suspek pada 2.15 petang kelmarin di Balai Polis Bukit Tengah.

Katanya, berdasarkan laporan itu, suspek mendakwa dia disamun dua lelaki berhampiran hotel di Icon City , Bukit Tengah.

“Suspek menipu polis kononnya dalam kejadian itu, dia kehilangan pasport ,sebuah komputer riba berjanama Apple dan dokumen pejabat.

“Suspek juga mendakwa dalam kejadian itu lelaki yang menyamunnya tidak menggunakan senjata, ” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati keterangan suspek mencurigakan.

Katanya,polis yang memeriksa kereta mangsa menjumpai komputer riba yang didakwanya disamun.

“Selepas disiasat polis, suspek mengaku membuat laporan polis palsu kerana mahu membuat semula pasport dan takut didenda oleh Jabatan Imegresen.

“Suspek sebenarnya tercicir pasport dan dompetnya,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan dan polis merampas komputer riba yang didakwa hilang itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 6:30 PM