GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli

PEREMPUAN ditemui lemas di kawasan titi berhampiran kampung di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama Mukim Keplu, Kodiang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, tiada sebarang dokumen ditemui pada tubuh mayat berkenaan yang dianggarkan usia sekitar 17 hingga 23 tahun.

Beliau berkata, mayat yang masih berpakaian baju lengan panjang dan seluar panjang merah serta sandal hitam ditemui telangkup dalam air.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan dan tiada unsur jenayah ditemui pada mayat dan lokasi berkenaan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih kurang 24 jam dan dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, setakat ini tiada sebarang laporan berhubung orang hilang sejak semalam sehingga sekarang.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:20 AM