ANTARA individu yang ditahan dalam 'Op Sarang'. FOTO ihsan Polis
Fardy Bungga


SERAMAI 55 individu termasuk remaja 15 tahun ditahan polis dalam operasi pembanterasan aktiviti penyalahgunaan dadah ‘Op Sarang’ yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Operasi selama seminggu yang berakhir Jumaat lalu itu dijalankan di sekitar kawasan Likas, Sembulan, Tanjung Aru dan Bandaraya Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya berjaya menahan tujuh individu atas kesalahan memiliki dadah manakala selebihnya adalah penagih.

Katanya, semua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 54 tahun membabitkan 48 rakyat tempatan dan tujuh warganegara asing.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(A) akta yang sama.

“Dalam operasi ini juga, polis berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 272.45 gram di Pejabat Pos Malaysia, Kota Kinabalu. Tindakan ini sekaligus berjaya mengekang taktik pengedaran dadah melalui kaedah pengiriman pos,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, sepanjang Op Sarang kali ini, polis turut merampas dadah jenis ganja seberat 271.45 gram dan 2.35 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM11,200 berdasarkan harga pasaran semasa.

Sementara itu Habibi berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, kerjasama daripada orang awam dalam menyalurkan maklumat amat diperlukan dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa.

“Secara keseluruhan, Op Sarang berjalan lancar dan usaha ini akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman masyarakat bandaraya ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 12:34 PM