KHATIJAH Abdullah, 37 ceria bersama lima anaknya dapat tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang baru siap dibina oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Jeram Tekoh. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TUJUH beranak yang tinggal di rumah usang sejak 15 tahun lalu di Kampung Anai, di Gua Musang, tidak menyangka mereka kini dapat tinggal di kediaman yang selesa apabila mendapat rumah baru dibawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Khatijah Abdullah, 37, dan suami, Mohd Yusoff Abdullah, 40, serta lima anaknya mula berpindah ke rumah berkenaan yang dibina Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), dua bulan lalu.

“Jika sebelum ini kami anak beranak berteduh di rumah pusaka peninggalan arwah bapa dengan keadaan atap bocor, namun kini kami sekeluarga dapat tidur dengan lena apabila pindah ke rumah baru yang selesa.


KHATIJAH Abdullah, 37 bersama lima anaknya bergambar kenangan di hadapan rumah usang yang menjadi tempat tinggal selama 15 tahun ketika ditemui di Kampung Anai, dekat Kampung Limau Kasturi. FOTO Ramli Ibrahim

“Saya bersyukur kesempitan hidup yang dialami kami sekeluarga mendapat perhatian kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Khatijah bagaimanapun berkata, kenangan selama 15 tahun tinggal di rumah usang itu tidak dapat dilupakan dan ia menjadikan mereka terus kuat untuk mengharungi kehidupan pada masa akan datang.

“Bayangkan setiap kali hujan, rumah kami basah. Semua itu tinggal kenangan apabila kami mula menjalani kehidupan baru sejak dua bulan lalu.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin kepada kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai anak berusia dua hingga 15 tahun.

Kisah Khatijah sekeluarga pernah disiarkan di akhbar NSTP menjelang Aidilfitri tahun lalu yang memaparkan kesedihan sekeluarga itu tinggal di rumah usang dan atap bocor kerana hidup miskin.

Difahamkan, rumah PPRT itu mula dibina KESEDAR 16 Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya 13 Januari tahun ini sebelum dibenarkan mendudukinya 1 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Khatijah berkata, selama ini dia bergantung kepada pendapatan suaminya hasil upah menoreh getah kira-kira RM500 sebulan.

Katanya, walaupun pendapatan yang diperoleh itu sekadar cukup makan, namun dia akan berusaha untuk mencari sumber kewangan lain untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya.

“Fokus kami sekarang ini mencari rezeki untuk perbelanjaan anak-anak sahaja memandangkan isu rumah sudah selesai,” katanya.

Berita berkaitan

Merengek nak ayam goreng

Jangan hina kami

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 12:56 PM